Panduan Memilih Langsir

langsirSebelum anda membeli langsir, berikut adalah beberapa panduan asas atau tip bagaimana memilih langsir mengikut keperluan dan kehendak masing-masing. Pilihan langsir yang tepat dan sesuai dengan konsep rumah adalah penting kerana ia akan memberikan keselesaan dan juga menyerlahkan kecantikan kediaman.

TENTUKAN BAJET
Pertama sekali, tentukan bajet mengikut kemampuan. Antara perkara yang perlu dimasukkan dalam pengiraan bajet ialah kos kain, upah jahit langsir dan aksesori langsir.
Terdapat pelbagai jenis fabrik di pasaran yang harganya bergantung pada kualiti dan jenis kain yang dipilih. Ada fabrik yang berharga di bawah RM10 semeter malah ada yang dijual sehingga lebih RM60 semeter. Jika menjahit langsir sendiri, maka kos upah tidak perlu dikira. Dengan adanya anggaran bajet, anda tidak akan tersasar dalam berbelanja.

UKURAN LANGSIR
Sebelum membeli langsir siap, anda perlu menentukan saiz langsir (panjang dan lebar) mengikut ukuran tingkap atau ‘sliding door’ supaya tidak berlaku masalah seperti langsir pendek atau terlebih panjang. Pastikan ukuran langsir yang dilakukan adalah tepat agar tiada pembaziran. Pembantu kedai boleh membantu dalam menentukan ukuran kain yang diinginkan.

TENTUKAN BENTUK REKAAN LANGSIR
Perkara pertama yang perlu difikirkan untuk membuat langsir ialah rekaannya. Setiap rekaan langsir memerlukan jumlah kain yang berbeza malah upah menjahitnya juga berbeza bagi setiap rekaan. Ada pelbagai bentuk contoh rekaan langsir, antaranya ialah french pleat, box pleat, scallop dan banyak lagi.

PADANKAN CORAK DAN WARNA LANGSIR DENGAN KEDIAMAN
Di pasaran sekarang, terdapat pelbagai jenis corak kain langsir. Warna dan corak langsir memberi kesan pada kediaman. Oleh itu, buatlah keputusan yang bijak dalam pemilihan warna dan corak agar sesuai digunakan dengan kediaman. Sebagai panduan, jika ruang kediaman sempit, maka pilihlah warna yang terang supaya ruang nampak lebih luas. Jika ruang luas, gunakan warna yang gelap.

AKSESORI TAMBAHAN YANG LAIN
Setelah memilih fabrik, tentukan aksesori tambahan yang sesuai. Contohnya seperti palang, cangkuk dan tali pengikat langsir. Aksesori-aksesori ini boleh didapati di kedai-kedai mahupun dihasilkan sendiri mengikut kreativiti masing-masing. Ia juga memainkan peranan penting dalam menyerlahkan langsir.

 

Rujukan : Buku Variasi Jahitan Langsir